Selasa, Januari 22, 2013

Perutusan Penasihat KSK MDK


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam PerakAmanjaya.

Pelawat-pelawat facebook dan blog Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Kerian yang dihormati,

Saya berasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah rahmatNya 'perhubungan antara kita' dapat didekatkan lagi dengan pewujudan facebook dan blog Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Kerian.  Bagi saya 'hubungan secara maya' ini merupakan sesuatu yang istimewa kerana ia menunjukkan komitmen dan kesungguhan jawatankuasa Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Kerian yang sentiasa mengikuti arus perdana bagi melonjakkan imej kelab selaras dengan perkembangan teknologi maklumat.  

Pewujudan dua saluran ini memberikan ruang kepada ahli Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Kerian, apabila kesungguhan dan minat untuk memberi informasi terkini dapat diaplikasikan dalam bentuk penulisan.  Sesuai dengan peranannya, informasi yang diuar-uarkan memaparkan peranan, aktiviti dan maklum balas secara spontan dari ahli dan jawatankuasa kelab.  Gunakan ruang ini untuk bertukar pandangan dan mencapai sesuatu keputusan untuk faedah bersama serta memperolehi informasi terkini kelab secara beradab dalam teknologi maklumat.

Walaupun ruangan ini bukanlah sesuatu yang baru, namun saya pasti tugasan bagi menyediakan kedua-dua saluran ini bukanlah sesuatu tugas yang mudah kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam menerokai bidang teknologi maklumat kerana latar belakang pendidikan dan kekangan masa memandangkan penglibatan mereka dalam kelab dan skop kerja ini adalah secara sukarela.  Saya kagum melihat kesungguhan jawatankuasa menyediakan paparan maklumat yang sentiasa dikemaskini dan ini menunjukkan kebijaksanaan jawatankuasa dalam menguruskan masa untuk mengemaskini maklumat yang ada.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan facebook dan blog Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Kerian.  Harapan saya agar usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang walaupun pengurusan kelab bertukar seiring dengan keperluan semasa.  Kepada ahli kelab, jadikan kelab sebagai medan untuk menambah ilmu, menonjolkan bakat dan meningkatkan nilai-nilai murni sesama ahli serta rancanglah aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada semua.

Semua pelawat adalah digalakkan untuk memberi sumbang saran/ idea/ pendapat yang membina dan positif demi memantapkan lagi kedua-dua saluran teknologi maklumat ini kerana saya berpandangan, usaha berterusan ini akan lebih bermakna sekiranya input yang dipaparkan ini memberi kesan positif kepada kedua-dua belah pihak.  SYABAS dan TAHNIAH.

Pages