Rabu, Disember 26, 2012

PROGRAM LATIHAN CABARAN KINABALU 2013 - DAKIAN BUKIT KLEDANG, IPOH, PERAK

Bukit Kledang, IPOH - 22 Disember 2012 - Satu pengalaman yang mengujakan dan sukar dilupakan apabila lebih 30 orang yang terdiri daripada 18 orang peserta Program Bina Semangat: Cabaran Gunung Kinabalu 2013 Majlis Daerah Kerian (MDK) dan lebih 10 orang peserta daripada Bahagian Kerajaan Tempatan berjaya 'menakluk' Bukit Kledang, Ipoh.  Peserta daripada Bahagian Kerajaan Tempatan, PSUK diketuai oleh Setiausaha Bahagian, Encik Mohd Zakuan b. Hj. Zakaria dan peserta daripada Majlis Daerah Kerian diketuai oleh Yang Dipertua, Majlis Daerah Kerian Encik Khairul Amir b. Mohamad Zubir.

          Program yang dirancang ini merupakan salah satu daripada sesi latihan yang dijadualkan untuk peserta Program Bina Semangat: Cabaran Gunung Kinabalu 2013 Majlis Daerah Kerian.  Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan diperingkat Majlis Daerah Kerian yang bertanggungjawab dalam mengatur persiapan, penginapan dan lain-lain.  Pihak Majlis Daerah Kerian telah mendapat bantuan penuh daripada Bahagian Kerajaan Tempatan dalam menjayakan program ini.


          Para peserta MDK bertolak dari Wisma MDKerian ke Ipoh pada jam 4:00 petang, 21 Disember 2012 dan tiba di Pasaraya Mydin, Meru, Ipoh pada jam 5:30 petang. Ketibaan peserta MDK disambut oleh Encik Azlan, wakil Bahagian Kerajaan Tempatan yang mengiringi peserta ke Manjoi Homestay di Kampong Tengku Husien Baru, Ipoh.
Jamuan Makan Malam

          Pada jam 8:00 malam, Encik Azlan sekali lagi mengiringi peserta MDK ke majlis makan malam yang disediakan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan. Layanan yang diterima daripada pegawai dan staf Bahagian Kerajaan Tempatan amat baik dan sungguh mesra.  Encik Mohd Zakuan dan Encik Khairul Amir telah hadir dalam majlis tersebut.  Selesai makan malam, Encik Azlan dan beberapa orang staf Bahagian Kerajaan Tempatan telah mengiringi peserta MDK ke sekitar Kinta Riverfront untuk bersiar-siar.



          22 Dis 2012 - Pada jam 6:30 pagi, Encik Azlan tiba di Manjoi Homestay bagi menjemput pasukan MDK.  Pasukan MDK tiba di lokasi permulaan pendakian pada jam 7:00 pagi. Program bermula dengan ucapan ringkas oleh Encik Mohd Zakuan b. Hj. Zakaria dan Encik Khairul Amir b. Mohamad Zubir.  Sesi regangan diketuai oleh Encik Razak dari Bahagian Kerajaan Tempatan. Bacaan doa disampaikan oleh Encik Mohamad Razif.



Laluan tangga tanah
          Sesi pendakian bermula jam 7:30 pagi.  Pasukan pendaki MDK dan Bahagian Kerajaan Tempatan telah bertemu dengan Tuan Syed, Pegawai Khas Datuk Bandar Ipoh.  Beliau secara sukarela menawarkan perkhidmatan sebagai penunjuk arah dan mencadangkan laluan yang lebih mencabar kepada peserta program.  Laluan tangga tanah, denai hutan serta bukit amat mencabar kekuatan minda dan fizikal peserta.  

Suasana nyaman, kedamaian hutan serta keindahan flora dan fauna telah menjadi 'penghibur' kepada peserta di sepanjang jalan yang dilalui.  Indah sungguh ciptaan Tuhan! dan terima kasih kepada Tuan Syed, Pegawai Khas Datuk Bandar Ipoh atas kesudian beliau menjadi penunjuk arah kepada pasukan pendaki Bahagian Kerajaan Tempatan dan MDK. 

          Dengan jarak lebih kurang 4.0 km, semua peserta berjaya tiba di 'check point' pada jam 9.30 pagi. Semua peserta mengambil kesempatan menghirup udara nyaman dan berhenti di beberapa lokasi di sepanjang laluan menuruni bukit untuk sesi bergambar.  Semasa menuruni bukit, peserta menempuh laluan jalan tar, tangga tanah dan jalan tanah.   Syukur, alhamdulillah tiada siapa yang tercedera dalam program ini dan program ini berakhir dengan penuh keceriaan dan rasa bangga terpamer pada wajah para peserta.  
Panorama flora di Bukit Kledang

          Peserta MDK sekali lagi diiringi oleh pegawai dan staf Bahagian Kerajaan Tempatan ke lokasi minum pagi.  Encik Mohd Zakuan dalam ucapan penutup program melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan program ini dan perasaan yang sama turut dilahirkan oleh En. Khairul Amir.  Encik Zakuan telah berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada peserta MDK dan penyampaian cenderahati daripada pihak MDK disempurnakan oleh Encik Khairul Amir.

          Program ini telah memenuhi dengan jayanya program latihan ke 10 bagi program Cabaran Kinabalu MDKerian 2013 pada JUN 2013 nanti.  Terima kasih Bahagian Kerajaan Tempatan atas layanan baik yang diterima oleh pihak MDK sepanjang program ini berlangsung.  


Kenangan & cabaran di Bukit Kledang


Peserta MDK yang terlibat dalam Cabaran Bukit Kledang adalah:

1.   Encik Khairul Amir b. Mohamad Zubir (YDP MDK)
2.   Encik Mohammad Razif b. Ramli (Setiausaha MDK)
3.   Encik Abdul Hamid b. Abdullah
4.   Puan Noraziah bt Zainol Abidin
5.   Encik Zaharuddin b. Mohd Ghazali
6.   Encik Azizul Nazli b. Abd Hadi
7.   Cik Siti Aminah bt Ismail
8.   Encik Gobibaskaran a/l Govindaraju
9.   Encik Mohd Faizal b. Mat Nun
10. Encik Rosmizan b. Osman
11. Encik Dheeban a/l Baskaran
12. Encik Prakash a/l Ramasamy
13. Encik Mohd Azian b. Abd. Latif
14. Encik Mohd Hafiz b. Yahya
15. Encik Zainurul Hisham b. Zainal Abidin
16. Encik Amirul Mukminin
17. Encik Azizan b. Said
18. Encik Abd Hamid b. Yusop.

                               KLIK DISINI UNTUK ALBUM GAMBAR        
                                                           
                                          By Biro Sukan KSK MDK/M.O

Pages